Sunday 10 March 2013

Tips Meredakan Marah





  1. Kenangkan keutamaan orang yang dapat mengawal perasaan dan ganjaran-ganjaran yang Allah janjikan kepada orang yang menahan kemarahannya, bersikap sabar, suka memberi maaf dan bersikap redha dengan ketentuan takdir Allah. Antara lain janji Allah di dalam Surah Ali Imran Ayat 133-134 yang bermaksud:- "Bersegeralah menuju pengampunan Tuhanmu serta syurga yang luasnya adalah seluruh langit dan bumi. Itu disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa, iaitu orang-orang yang suka membelanjakan hartanya dalam keadaan cukup atau kurang rezki serta orang-orang yang suka menahan kemarahannya dan pula yang gemar memaafkan kesalahan para manusia dan Allah itu mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan."
  2. Ingati juga balasan yang Allah sediakan di akhirat kepada orang yang menghamburkan perasaan marah. Ketika itu diri sendiri amat menagih secebis keampunan, rahmat dan belas kasihan daripada Yang Maha Agung. Dengan mengenang hal ini, kita tidak akan bersikap angkuh dan keras hati sebaliknya lebih suka menghulurkan kemaafan dan mengasihani sesama manusia.
  3. Fikirkan juga akibat daripada sikap marah yang boleh memudaratkan diri apabila pihak lain membalas perlakuan marah kita dengan sikap yang serupa. Ingatlah bahawa sebagai hamba Allah kita tidak dapat lari daripada memiliki banyak kelemahan dan melakukan kesilapan. Begitu juga orang lain.
  4. Bandingkan diri kita yang bersikap pembengis dengan seekor binatang yang buas lagi liar. Kemudian kenangkan pula peribadi para Rasul, Nabi dan alim ulama serta orang-orang soleh yang mulia. Maka hati kita akan terdorong untuk menjauhi tabiat binatang sebaliknya terdorong mengamalkan sikap baik yang diwarisi orang-orang yang mendapat  kedudukan istimewa dan dikasihi Allah sebagai teladan peribadi.
  5. Tanya diri kita, kenapa kita harus menurut perasaan marah? Apa punca yang menyebabkan kita marah? Nanti kita akan sedari bahawa ia tidak lain dari mengikut bisikan syaitan dan hawa nafsu. Dan kita insaf bahawa syaitan dan nafsu itu hanya mengajak kepada kejahatan dan kederhakaan terhadap Allah. Mengikut bisikan dan ajakan kedua-dua musuh dalam diri ini bermakna menempah padah di akhirat. Dengan mengenang semua ini, kita akan dapat memujuk hati agar bersikap sabar dan pemaaf.

No comments:

Post a Comment